Anugerah AAN 2008



 

Pensyarah PPIK Menerima Anugerah AAN 2008, Prof Muhammad Salleh
(Tokoh Akademik Negara 2008) dan Prof Madya Dr. Jelani Harun
(Anugerah Penerbitan Buku) - Tahniah

KUALA LUMPUR, 6 Ogos – Lima tokoh pendidik dan cendekiawan Universiti Sains Malaysia (USM) cemerlang apabila membolot lima anugerah utama daripada enam yang dipertandingkan dalam Anugerah Akademik Negara (AAN) 2008 di sini semalam.

Pengiktirafan tertinggi AAN telah diberikan kepada Sasterawan Negara yang juga pensyarah Pusat Pengajian Ilmu Kemanusiaan (PPIK) USM, Prof Muhammad Salleh melalui sumbangan serta jasa besar beliau dalam bidang pendidikan tanahair.

Selain beliau, seorang lagi pensyarah kanan PPIK, Dr Jelani Harun menerima Anugerah Penerbitan Buku manakala Pengarah Pusat IPV6 Permaju Negara USM, Prof Dr Sureswaran Ramadass menerima anugerah Inovasi dan Pengkomersilan produk.

Pensyarah Pusat Pengajian Siswazah Perniagaan USM Prof Madya Dr Zainal Ariffin Ahmad menerima Anugerah Pengajaran bagi kelompok Sastera Gunaan dan Sains Sosial Gunaan manakala profesor bidang teknologi makanan di Pusat Pengajian Teknologi Industri USM Prof Dr Abd Karim Alias menerima Anugerah Pengajaran bagi kelompok Sains Gunaan.

Seorang lagi tokoh pendidik, Dekan Fakulti Teknologi Kreatif dan Artistik Universiti Teknologi Mara (UiTM) yang juga alumni USM, Prof Dr Mohammad Hatta Azad Khan turut menempa nama sebagai penerima anugerah seni dan kreativiti AAN.

Kesemua pemenang telah menerima sijil, trofi dan wang tunai daripada Menteri Pengajian Tinggi, Datuk Seri Mohamed Khaled Nordin. Turut hadir ialah Ketua Setiausaha KPT, Dato’ Dr. Zulkefli A. Hassan, Ketua Pengarah Jabatan Pengajian Tinggi, Prof. Dato’ Ir. Dr. Raden Umar Radin Sohadi dan Naib Canselor USM Prof. Tan Sri Dato’ Dzulkifli Abdul Razak.

Mohamed Khaled dalam ucapannya berkata, kementerian mensasarkan untuk meningkatkan bilangan pengkomersialan produk penyelidikan negara sehingga lima peratus pada tahun depan dan 10 peratus pada tahun 2020.

Perkara itu katanya dibuat bagi mengangkat mutu dan kualiti penyelidikan negara ke arah yang membanggakan dan mampu berdaya saing dengan hasil penyelidikan institusi pengajian lain di peringkat global.

Justeru kata beliau, dengan wujudnya anugerah-anugerah seperti Anugerah Inovasi dan Pengkomersilan Produk dalam AAN, ia diharap dapat memberi suntikan semangat untuk warga penyelidik di peringkat IPT menjalankan kajian yang berkualiti.

``Kita juga akan memperkenalkan program khusus bagi meraikan penemuan baru hasil penyelidikan mereka dalam perhimpunan bulanan kementerian dan ini bertujuan memberi motivasi kepada penyelidik-penyelidik di negara ini,’’ katanya.

Beliau juga berkata kementerian itu dalam usaha memartabatkan institut pengajian tinggi dan ahli akademik, KPT telah mewujudkan empat pelan tindakan yang perlu dipatuhi oleh semua institusi pengajian tinggi awam (IPTA).

Pelan tersebut terdiri daripada pelan pembudayaan dan kesarjanaan tenaga akademik, pelan pengurusan tenaga akademik, pelan penghargaan dan pengiktirafan tenaga akademik dan pelan pengukuhan wibawa, integriti dan profesionalisme tenaga akademik.

Mohamed Khaled berkata menjelang 2010, kementerian mensasarkan agar 60 peratus jumlah anggota akademik IPTA mempunyai kelayakan ijazah doktor falsafah atau setara dengannya.

Keterangan gambar: Para pemenang Anugerah Akademik Negara merakamkan kenangan bersama Menteri Pengajian Tinggi, Dato' Seri Mohamed Khaled Nordin di Kuala Lumpur, semalam.